Bulan Ogos sememangnya sinonim dengan bulan kemerdekaan. Sempena bulan kemerdekaan, pastinya semangat cintakan negara dalam setiap rakyat Malaysia semakin berkobar-kobar. Apatah lagi sepanjang bulan ini, banyak aktiviti bertemakan semangat patriotisme dilaksanakan. Jalur Gemilang akan dipasang di merata-rata tempat dan lagu Negaraku akan banyak berkumandang. Kita seharusnya bangga dengan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi sejak sebelum zaman negara kita mengecapi kemerdekaan, kemudian kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehinggalah kejayaan dan kemajuan yang kita kecapi pada hari ini. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi, sikap hormat terhadap negara seharusnya perlu ada dalam diri kita. Hormatilah Jalur Gemilang yang kini dipasang di merata-rata tempat. Sekiranya kita terlihat bendera-bendera yang terdampar di tanah, janganlah kita memijak dengan sengaja. Janganlah juga kita dengan sengaja mengelap tangan yang kotor dengan Jalur Gemilang. Sesungguhnya kita harus tahu Jalur Gemilang melambangkan kejayaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Setiap satu elemen yang terdapat pada Jalur Gemilang membawa makna yang signifikan kepada kita. Contohnya warna kuning melambangkan warna Diraja, warna merah melambangkan keberanian, warna putih melambangkan kesucian dan warna biru melambangkan perpaduan. Elemen-elemen itulah yang menjadi faktor penentu kejayaan yang kita kecapi pada hari ini dan menjamin kegemilangan dan keharmonian hidup kita pada masa-masa akan datang.
Sambutan peringkat sekolah akan diadakan pada 30 OGOS 2018.
No comments:
Post a Comment